KUCHING: Satu sesi libat urus antara Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sarawak telah diadakan pada Selasa bagi menyelaras pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan luar bandar Bahagian Betong.
Sesi tersebut telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BDDA, Dato Gerald Rentap Jabu dan disertai oleh para wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik, ADUN Lingga Dayang Norazah Awang Sohor serta Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu.
Sebanyak 54 projek di bawah seliaan JPS telah dikenal pasti di bawah inisiatif BDDA dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM383,139,800.
Projek-projek ini merangkumi kawasan DUN Lingga, Beting Maro, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian dan Kabong.
Pecahan projek mengikut sektor di mana pembangunan infrastruktur, 29 projek yang berjumlah RM246,219,800, pembangunan agro pertanian sebanyak 22 projek berjumlah RM88,920,000 dan pembangunan pelancongan dan persekitaran merangkumi tiga projek yang bernilai RM48,000,000.
Bagi kawasan DUN Kabong, sebanyak lapan projek pembangunan infrastruktur telah disenaraikan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM39,140,000.
Daripada jumlah tersebut, tujuh projek berada pada peringkat perancangan, manakala 1 projek telah siap sepenuhnya.
Dalam sesi tersebut, Dato Mohd Chee telah menyuarakan harapan agar pelaksanaan projek di kawasan Kabong dapat dipercepatkan, terutama melibatkan keperluan asas seperti pembinaan jalan, sistem saliran dan infrastruktur pertanian.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan projek secara berkesan dan menepati jadual amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar serta memperkukuh pembangunan sosioekonomi kawasan Kabong secara menyeluruh.
Turut hadir ialah Pengarah JPS Sarawak, wakil Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Pegawai Tadbir Khas BDDA serta wakil agensi teknikal yang berkaitan.-EDISI UKAS