BETONG: Seramai 59 nelayan dari kawasan Beladin, Betong menerima manfaat daripada Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Beladin, hasil inisiatif berterusan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan luar bandar
.
Majlis penyerahan kunci rumah disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut meluangkan masa menyantuni penerima, melawat kediaman salah seorang peserta, serta menyampaikan sumbangan bakul makanan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan Kerajaan Sarawak kepada komuniti nelayan.
Projek ini merupakan kolaborasi antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kerajaan Negeri Sarawak, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Sarawak membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM21.25 juta.
Fasa pertama menyaksikan 68 unit rumah siap dengan kos RM6.8 juta. Seramai 59 peserta menerima kunci rumah dan menandatangani perjanjian pemilikan PSN Beladin.
Ia merupakan salah satu usaha strategik kerajaan dalam menyediakan penempatan yang lebih selesa, tersusun dan strategik kepada komuniti nelayan, sekaligus memperkukuh kesejahteraan dan jaminan hidup golongan ini pada masa hadapan.
Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkasa kesejahteraan rakyat, khususnya komuniti nelayan yang menjadi antara penyumbang penting kepada sektor perikanan negeri.
Harapan kerjasama erat antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan komuniti nelayan sentiasa terpelihara.
Sinergi ini amat penting dalam merancang, melaksanakan serta memantau pelbagai inisiatif pembangunan, termasuk penyediaan penempatan yang lebih selesa, peningkatan infrastruktur asas dan penciptaan peluang ekonomi baharu.
Kerjasama berterusan ini juga diharap dapat memperkukuh daya tahan komuniti nelayan menghadapi cabaran masa kini dan akan datang, selaras matlamat menjadikan sektor perikanan negara lebih mapan dan berdaya saing.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas,Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Sri Norazman Ayob, menteri-menteri kabinet negeri, ahli-ahli parlimen, ADUN serta tetamu kenamaan lain.