PUSA: Kemajuan sektor pertanian luar bandar terus diperkukuh dengan siapnya Pejabat Pertanian Baharu Pusa yang dijangka menjadi pusat sehenti pembangunan industri tani di kawasan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, kemudahan tersebut akan memberi impak besar terhadap pengembangan sektor agromakanan tempatan, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan dan ekonomi luar bandar.
“Pejabat ini bukan sahaja akan menjadi pusat pentadbiran, malah tempat pemindahan ilmu, penyaluran peruntukan dan pendorong utama kepada komuniti petani dalam menerapkan amalan pertanian moden,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran dan penyerahan projek siap pejabat pertanian berkenaan pada Jumaat.
Razaili memberitahu, antara tanaman tumpuan yang dikenal pasti ialah padi, nanas dan kelapa, manakala industri nipah dan apong di Kampung Tambak turut diberi penekanan untuk dibangunkan sebagai sumber pendapatan baharu komuniti.
“Dengan adanya pejabat ini dan pusat pengumpulan makanan yang bakal diwujudkan, industri tani kita akan bergerak lebih tersusun, moden dan berskala komersial,” jelas beliau.
Katanya lagi, Sarawak memiliki kepelbagaian sumber asli yang berpotensi besar untuk dibangunkan secara strategik, dan keperluan kepada pengurusan serta sokongan teknikal yang terancang amatlah penting bagi menjana hasil ekonomi lebih mampan untuk negeri.
Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong dengan kerjasama Jabatan Pertanian Betong dan dilihat sebagai inisiatif penting dalam merealisasikan agenda pembangunan luar bandar yang inklusif serta mampan.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Jurutera Bahagian JKR Betong, Jason Ng Boon Tuan; Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Ahmad Arisa Kachon; serta pemimpin komuniti termasuk Pemanca, Penghulu dan wakil Pejabat Daerah Pusa.-EDISI UKAS