BATANG LUPAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor menyeru semua pengerusi koperasi kampung dalam kawasan beliau agar terus memperkukuhkan peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi setempat.
Dalam ucapan beliau sempena satu mesyuarat bersama wakil koperasi, beliau menegaskan bahawa mesyuarat tersebut diadakan bagi memastikan setiap koperasi yang ditubuhkan benar-benar wujud dan menjalankan fungsi seperti yang diharapkan.
"Saya ingin mendapatkan maklum balas berkenaan usaha dan kegiatan koperasi, terutama yang beroperasi di premis yang telah ditentukan oleh kampung masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya kerjasama antara ahli koperasi dalam menghasilkan produk tempatan yang boleh diniagakan serta memanfaatkan potensi kawasan Beting Maro sebagai pengeluar produk makanan utama bagi wilayah Sarawak.
Menurut beliau, perkembangan positif yang ditunjukkan oleh koperasi amat digalakkan, di samping membentangkan sebarang isu yang boleh ditangani bersama.
Beliau juga memaklumkan bahawa Karnival Beting Maro (KBM) akan diadakan pada bulan September, yang akan menjadi platform utama bagi mempromosikan produk tempatan dan sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk.
"Koperasi berperanan besar membantu para usahawan tempatan mengembangkan produk berasaskan pertanian.
“Dengan adanya Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) di kawasan ini, projek-projek pertanian juga dapat dipertingkatkan, seterusnya merangsang ekonomi setempat," jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan komuniti setempat agar mengambil peluang untuk membangun bersama koperasi, sambil memanfaatkan kemudahan seperti pusat internet bagi tujuan promosi dan penyebaran maklumat produk. -EDISI UKAS